Thursday, March 14, 2013

Penyusuan susu ibu menurut perspektif Islam


Manusia adalah makhluk yang dijadikan oleh Allah swt sebagai khalifah di muka bumi ini. Kita dijadikan sebagai insan yang lemah ketika dilahirkan, dan berupaya untuk berdikari apabila meningkat dewasa. Kita amat bergantung kepada kasih sayang ibu dan bapa yang melahirkan dan membesarkan kita. Kasih sayang yang dicurahkan melalui penyusuan susu ibu, menjadi pengikat kasih yang kuat
antara kita dengan ibubapa. Penyusuan susu ibu mengandungi banyak kelebihan yang tersurat dan juga yang tersirat.

Penyusuan susu ibu merupakan salah satu komponen utama dalam pendidikan awal seorang anak. Peranan mendidik anak melalui penyusuan ini, hanyalah dianugerahkan kepada kaum wanita sahaja. Allah swt telah memilih kaum wanita kerana sifat keibuan yang kuat dalam diri mereka.
Setiap bayi yang baru lahir, dikurniakan naluri untuk menyusu pada payudara ibunya. Penyusuan susu ibu mampu melengkapi segala keperluan rohani dan jasmani yang diperlukan oleh seseorang bayi. Oleh itu, penyusuan susu ibu telah dijadikan Allah swt, sebagai suatu perkara yang wajib dilaksanakan oleh setiap ibu yang melahirkan anak. Ketetapan tentang kewajipan ini telah di sebut oleh Allah swt melalui firmannya di dalam surah Al Baqarah, ayat ke 233.

Para ibu hendaklah menyusui anak-anaknya selama dua tahun penuh,
iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan.

(surah Al Baqarah ayat 233)

Menurut sejarah Islam, para nabi dan rasul juga disusui oleh ibu-ibu mereka, sama ada ibu yang melahirkan, ataupun ibu susuan. Nabi Muhammad saw juga disusui oleh ibunya Siti Aminah dan kemudiannya disusui oleh ibu susuannya Halimah As-Sa’diyyah. Begitu juga Nabi Musa a.s yang dihanyutkan ke Sungai Nil setelah disusui oleh ibunya, dan kemudiannya ditemukan semula oleh Allah swt dengan ibunya. Setelah keluarga Firaun mencari ibu susuan untuk nabi Musa a.s di seluruh
pelusuk negeri, akhirnya bertemu dengan ibu baginda sendiri, tanpa diketahui oleh keluarga Firaun. Kisah ini telah diceritakan di dalam Al-Quran di dalam surah Al-Qasaas.

“ Dan kami ilhamkan kepada ibu Musa : susukan ia dan apabila kamu khuatir terhadapnya, maka jatuhkan ia kedalam sungai (Nil) janganlah kamu khuatir dan janganlah pula kamu bersedih hati kerana sesungguhnya kami akan mengembalikan nya kepadamu dan menjadikannya ( salah seorang ) daripada para Rasul. ”
(al-Qasas:7)


No comments:

Post a Comment